Time Now

nuffnang

Salam

nuffnang

Relax Yr Eyes

Baca lah Al-Quran

Listen to Quran
Terjemahan Melayu - Klik sini

Radio / TV Malaysia

Assalamualaikom

Thursday, July 25, 2013

Baitullah Aku Datang: Peringatan Kepada Jemaah

Sebahagian masyarakat Islam melakukan beberapa hal dalam masalah ibadat (termasuk haji), tidak berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

Sebahagian pula memberi fatwa atau pandangan agama tanpa ilmu. Sebahagian pula mengikuti sahaja pandangan agama tanpa ilmu dan kefahaman. Maka perhatikanlah peringatan dan nasihat ini:
 
1)    Dalam hadis sahih, Nabi SAW memulai tawaf dari Hajar Aswad pada Rukun Yamani sebelah timur Kaabah, mengelilingi seluruh Kaabah di luar Hijir Ismail. Baginda melakukan tawaf dengan raml(berjalan cepat) hanya pada tiga pusingan pertama semasa Tawaf Qudum (Tawaf pertama kali sampai di Mekah).
 
2)    Cara Nabi: Semasa tawaf, baginda SAW pernah memegang Hajar Aswad dan menciumnya, pernah memegang Hajar Aswad dengan tangan lalu mencium tangannya, pernah pula memegang Hajar Aswad dengan tongkatnya kemudian mencium tongkat tersebut sedang beliau di atas untanya. Baginda melakukan tawaf di atas untanya dan memberi isyarat pada Hajar Aswad setiap kali melewatinya. Juga telah tersebut dalam hadis sahih bahawa baginda pernah memegang Rukun Yamani.
 
3)    Perhatian: Perbezaan cara menyentuh Hajar Aswad tersebut dilakukan sesuai dengan kemunasabahan dan kemudahan yang ada. Sekiranya mudah dan munasabah, baginda memegang atau menyentuhnya. Jika tidak, baginda tidak memegangnya. Dalam keadaan sekarang (begitu ramai manusia bertawaf), tersangat sukar dan tidak munasabah untuk kita menyentuh Hajar Aswad ketika sedang bertawaf. Sekiranya ingin mencuba memegang atau mencium, buatlah selepas selesai umrah, semasa atau selepas tawaf sunat.
 
4)    Perbuatan memegang, mencium dan memberi isyarat tersebut hanya merupakan bentuk ibadat dan bukan keyakinan bahawa Hajar Aswad itu sendiri dapat memberikan manfaat atau mudarat.
 
5)    Menjadi kesalahan memulakan tawaf sebelum Hajar Aswad, yakni antara Hajar Aswad dan Rukun Yamani. Ia perbuatan yang berlebih-lebihan dalam agama. Alasan ia dilakukan kerana berhati-hati, tidak boleh diterima kerana ia tidak perlu dan bercanggah dengan sunnah.
 
6)    Jangan bertawaf dengan melakukan raml(berjalan cepat) pada seluruh pusingan.
 
7)    Jangan berkeras atau berkasar untuk mencium Hajar Aswad, sehingga menimbulkan risiko pergaduhan, kecederaan dan lain-lain perbuatan yang boleh jatuh haram. Justeru ditakuti akan menjejaskan kesempurnaan haji.
 
8)    Terdapat kesalahan serius berkaitan akidah iaitu wujudnya kepercayaan pada segelintir jemaah bahawa Hajar Aswad itu boleh memberikan manfaat. Walaupun mereka menafikan, tetapi apakah alasan kepada perbuatan pelik yang berunsur khurafat iaitu setelah memegang Hajar Aswad, ada yang mengusapkan tangannya ke seluruh anggota badan. Apakah di sebalik perbuatan itu jika tiada unsur sesuatu kepercayaan dan kejahilan?
 
9)    Jangan memegang semua rukun di Kaabah atau memegang seluruh kain atau bangunan Kaabah dan mengusapnya. Ini adalah kejahilan dan kesilapan yang boleh membawa kesesatan.
 
        Daripada Mujahid daripada Ibnu Abbas r.a bahawa dia pernah melakukan tawaf bersama Muawiyah r.a dan Muawiyah memegang seluruh rukun Kaabah, maka Ibnu Abbas r.a bertanya, “Kenapa anda memegang dua rukun ini (selain Rukun Yamani) padahal Rasulullah SAW tidak pernah memegangnya.” Muawiyah menjawab, “Tidak ada sesuatu pun daripada Kaabah ini yang harus dijauhi.” Kemudian Ibnu Abbas r.a membidas dengan menyebut firman ALLAH yang ertinya, “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu.” Jawab Muawiyah, “Engkau benar.”88
 
10) Daripada Nabi SAW bahawa beliau bertakbir setiap kali sampai pada Hajar Aswad dan pada antara Rukun Yamani dan Hajar Aswad beliau membaca doa ertinya, “Ya,TUHAN kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan jauhkanlah kami daripada seksaan api neraka.” 
 
11)  Bukan perbuatan yang sunnah apabila mengkhususkan doa-doa tertentu pada setiap pusingan tawaf dan tidak membaca doa yang lain. Akibatnya, timbul kesan negatif seperti doa menjadi terpotong kerana pusingan telah selesai, sedangkan doa lain pula dibaca. Salah bacaan kerana tidak fasih, yang boleh membawa kepada perubahan makna. Tiada penghayatan kerana lebih kepada membaca bukan berdoa, tidak tahu makna dan lain-lain.
 
12)      Berdoalah dengan doa apa saja yang disukai bagi kebaikan dunia dan akhirat dan zikir-zikir seperti tasbih, tahmid, tahlil, takbir atau membaca al-Quran. Berdoalah dengan apa jua doa dan permintaan yang kita hajati, fahami dengan harapan tujuan doa itu dimakbulkan. Itu lebih memberi manfaat dan lebih mengikuti petunjuk sunnah.
 
13) Mencanggahi sunnah melalui perlakuan bertawaf secara berkumpulan dengan dipimpin seorang ketua yang doa atau zikir dibaca dengan suara kuat, lalu disahut dan diulang oleh pengikut-pengikutnya. Adakah ia tidak menganggu tumpuan orang lain yang bertawaf? Jumlah yang ramai pada kumpulan terdiri daripada wanita, anak muda dan orang tua. Apabila mereka berusaha untuk kekal bersama dalam kumpulan, sepanjang tujuh pusingan itu, pastilah ada kesan buruk menimpa orang lain seperti berlakulah kekasaran, perlanggaran dan sebagainya.
 
        Bandingan hal ini dengan larangan Rasulullah SAW dengan tegurannya kepada orang yang bersolat dan bersuara kuat atau keras pada bacaan mereka, iaitu,

        Masing-masing antara kamu sedang bermunajat kepada TUHANnya, maka hendaknya setiap kamu jangan saling bersuara keras dalam bacaan al-Quran89
 
14) Adalah sunnah untuk solat sunat dua rakaat sesudah selesai tawaf iaitu kedudukan Makam Ibrahim berada di antara orang yang solat dengan Kaabah. Pada rakaat pertama dibaca surah al-Fatihah dan al-Kafirun, dan pada rakaat kedua dibaca surah al-Fatihah dan al-Ikhlas. Salah faham yang berlaku ialah terlalu menekankan untuk solat ini dilakukan berdekatan dengan Makam Ibrahim sehingga mengganggu orang yang sedang tawaf.
 
        Kita tentu tidak mahu memaksa melaksanakan sunat sehingga berlaku perkara yang haram. Bersolat jauh sikit di belakang adalah lebih baik dan daripada menyakiti jemaah lain, dan itu yang lebih menepati sunnah dan disukai ALLAH! Berbisiklah di dalam hati, ‘Ya ALLAH, sesungguhnya Kau Maha Mengetahui akan keinginan hati ini untuk bersolat sedekat-dekatnya di belakang Makam Ibrahim namun aku takut tindakan itu akan menyakiti orang yang bertawaf. Ampunkan aku atas pilihan ini...’
 
15) Begitu juga dalam hal berdoa. Janganlah terlalu kuat dan berkumpulan kerana ia juga boleh menganggu orang lain. Kita mencari keredhaan ALLAH bukan kemurkaan-NYA.
 
        Berdoalah kepada TUHANmu dengan berendah diri dan suara lembut. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang yang melampaui batas.90
 
16)Semasa sai’e, kesilapan yang biasa dilakukan ialah ketika mendaki Bukit Safa dan Marwah mereka menghadap Kaabah, bertakbir tiga kali dan mengangkat tangan sambil mengisyaratkan dengan tangan mereka sebagaimana dilakukan ketika solat, kemudian turun dari bukit. Ini bukan daripada petunjuk sunnah kerana ia tidak dilakukan oleh Nabi SAW dan tidak disuruh kepada sahabat untuk dilakukan.
 
17) Jangan tergesa-gesa untuk menyelesaikan ibadat sai’e sehingga tercuai lalu mengingkari cara yang ditetapkan sunnah seperti berlari kecil mulai dari Safa sampai Marwah dan dari Marwah ke Safa, sedangkan berlari kecil hanya dilakukan pada dua tanda hijau saja. Selain itu hanya berjalan biasa.
 
18) Antara kesalahan semasa wukuf ialah berada di luar kawasan Arafah. Ini merupakan kesalahan yang besar, kerana wukuf di Arafah merupakan salah satu rukun haji yang tidak sah jika tidak dilaksanakan.
 
19) Jangan meninggalkan Arafah sebelum matahari terbenam kerana bertentangan dengan sunnah. Rasulullah SAW berwuquf sampai matahari terbenam dan hilang bentuk bulatannya.
 
20) Jangan berdoa dengan menghadap Jabal Arafah kerana Rasulullah SAW berdoa sambil menghadap kiblat.
 
21) Jangan melontar Jamrah dengan batu-batu yang lebih besar daripada saiz yang ditentukan Nabi SAW. Gunalah batu-batu kecil yang hanya sebesar biji kacang. Dalam musnad Imam Ahmad daripada Ibnu Abbas r.a Yahya berkata bahawa Auf tidak jelas Abdullah atau Al-Fadh mengatakan,Rasulullah SAW bersabda padaku pada pagi hari melontar Jamrah Aqabah sedang baginda berhenti di atas kenderaannya, “Sini ambilkan untukku.” Maka aku ambilkan untuk baginda beberapa batu kecil kemudian beliau meletakkan di tangannya, dan baginda bersabda, “Ya seperti batu-batu kecil ini” Kemudian sabdanya lagi, “Awas jangan berlebih-lebihan kerana sesungguhnya umat sebelum kamu hancur kerana berlebih-lebihan dalam agama.”
 
22) Dalam Sahih Bukhari daripada Ibnu Umar r.a, bahawa dia pernah melontar Jamrah Sughra sebanyak tujuh batu kecil dengan bertakbir pada setiap lontaran, kemudian maju ke tanah yang mendatar lalu berdiri dan menghadap kiblat, berdiri lama dan berdoa sambil mengangkat kedua tangannya. Lalu melontar Jamrah Wusta dengan tujuh batu kecil dengan bertakbir pada setiap lemparan, kemudian maju ke tanah mendatar lalu berdiri dan menghadap kiblat, berdiri lama dan berdoa sambil mengangkat kedua tangannya. Kemudian, melempar Jamrah Aqabah (Kubra) dari tengah lembah tanpa berdiri lagi (untuk berdoa) di tempat tersebut, tapi terus pergi serta berkata, “Demikian aku lihat Nabi SAW melakukannya.”
 
23) Beberapa kesalahan yang dilakukan oleh sebahagian jemaah haji adalah keyakinan mereka bahawa batu-batu ini perlu diambil di Muzdalifah, sehingga menyusahkan mereka sendiri dengan harus mencari-nya di tengah malam dan membawanya pada hari-hari di Mina. Padahal perlakuan itu bukan petunjuk daripada Nabi SAW. Jelasnya pada waktu itu, baginda berada berdekatan di Jamrah kerana ketika itulah waktu yang memerlukannya. Namun memandangkan kesesakan, mengutip di kawasan Mina adalah munasabah, dalam tafsiran yang dimaksudkan.
 
24) Kesilapan mempercayai melontar jamrah ialah melontar syaitan sehingga ada lafaz berkaitan syaitan semasa melontar. Kerana itu juga, mereka melontar dengan kuat, keras dan marah dengan teriakan kebencian kepada syaitan. Semua ini bukan petunjuk Nabi. Walaupun ada unsur kisah, namun perlakuan Nabi telah menunjukkan cara dalam lontaran. Nabi bertakbir semasa melontar. Itu yang perlu diikuti. Nabi menentukan batu yang kecil, sedangkan kalau betul mahu menggambarkan kemarahan melontar syaitan, batu yang besar patut lebih sesuai digunakan. Hikmah disyariatkan melontar jamrah adalah untuk perlaksanaan zikir dan ingatan kepada ALLAH Azza Wa Jalla, dan untuk itulah mengapa Nabi SAW bertakbir pada setiap lemparan batu kecil.
 
25) Atas salah faham itu, wujudlah kejahilan dengan lontaran menggunakan selain batu, berkasar dan membaling dengan kuat sehingga mengenai tubuh dan kepala orang lain. Ketika itu tiada lagi rasa khusyuk ketika beribadat melainkan rasa marah. Sedangkan Nabi mengingatkan untuk tidak ber-lebih-lebihan dalam beragama. Musnahnya umat terdahulu kerana berlebihan dalam agama.
 
26) Kesalahan juga berlaku apabila jemaah tidak berdoa setelah melontar Jamrah Sughra dan Jamrah Wusta pada hari-hari Tasyriq. Padahal Nabi SAW setelah melontar keduanya berdiam diri, menghadap kiblat sambil mengangkat kedua tangannya dan berdoa dengan doa yang panjang.
 
27) Menjadi kesalahan apabila melontar secara sekali gus sedangkan satu lontaran dikira satu. Lontarlah satu per satu sebagaimana telah dilakukan oleh Nabi SAW. Tidak perlu juga ditambah doa-doa dan bacaan yang tidak dibaca oleh Nabi. Mencukupi dilontar dengan membaca takbir, sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi SAW. Jangan dikurangi bahkan tidak perlu ditambah.
 
28)  Jangan wakilkan lontaran kepada orang lain sedang-kan mampu melakukannya sendiri. Bersabar-lah dengan kesulitan, kesesakan kerana ia sebahagian jihad dalam ibadat haji.
 
29) Tawaf Wada’ di Kaabah ialah kerja ibadat terakhir sebelum meninggalkan Mekah, setelah seluruh ibadat haji selesai. Maka, barang siapa Tawaf Wada’ kemudian melempar Jamrah setelah itu, tawafnya tidak sah dan wajib mengulangi tawafnya setelah melempar. Jika tidak, hukumnya seperti orang yang meninggalkan Tawaf Wada’.
 
30) Hanya para ahli ilmu memberikan keringanan (membolehkan) untuk tetap tinggal di Mekah setelah Tawaf Wada’ kepada orang yang memang benar-benar mempunyai kepentingan seperti harus solat terlebih dahulu kerana iqamat untuk solat telah dilaungkan atau untuk mengerjakan solat jenazah, atau ada keperluan penting yang lain. Ada pun jika tinggal/berdiam di Mekah setelah Tawaf Wada’, tanpa alasan-alasan yang yang diperbolehkan, maka wajib baginya mengulangi Tawaf  Wada’nya kembali.

P/S: Dapatkan buku ini di kedai berhampiran atau boleh melanggan terus kepada kami di karangkraf mall dengan melayari (FB: karangkraf mall) untuk maklumat lanjut atau terus ke emall (FB: emall) untuk belian terus ke telefon pintar anda.

No comments:

Post a Comment